Rabu, 02 Januari 2013

Terputus bekalan air, penduduk warga kota mengeluh seksa

KUALA LUMPUR - "Seksa." Itu ungkapan pertama sebaik isu ketiadaan bekalan air dikemuka kepada penduduk beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak yang terputus bekalan sejak seminggu lalu.
  
Rata-rata yang terlibat dengan krisis itu mengeluh, bukan sahaja kerana sukar menjalani kehidupan seharian tetapi bagi sesetengah peniaga pula mereka berdepan dengan kerugian.
  
Pemilik kedai Dobi Nanowash di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini memberitahu Bernama perniagaannya terjejas apabila beliau tidak dapat menjalankan khidmat membasuh pakaian pelanggan seperti biasa.
  
"Sudah empat hari kawasan ini ketiadaan air. Urusan cuci mencuci terpaksa dihentikan dan bagi mengurangkan kos kerugian, saya cuba juga menjalankan perniagaan seperti biasa namun hanya menawarkan perkhidmatan menggosok dan melipat pakaian," katanya yang enggan dikenali.
  
Kesukaran itu lebih dirasai pengusaha Taska Dsayang di Wangsa Melawati, Rozaimah Ramli, yang terpaksa menguruskan 35 anak asuhan berusia antara dua bulan dan 7 tahun tanpa bekalan air.

"Sangat sukar...untuk menguruskan makan minum kanak-kanak, dan juga terutama apabila kanak-kanak membuang air kecil dan besar, mereka harus dibersihkan dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kulit," katanya.
  
Beliau berkata meskipun ketiadaan air, taska berkenaan terpaksa beroperasi agar tidak menjejaskan ibu bapa yang bekerja.
  
"Sejak seminggu lalu, saya terpaksa menadah dan mengangkut air daripada rumah saya untuk dibawa ke taska.
  
"Namun lebih menyukarkan apabila kawasan perumahan saya di Taman Pertama yang terletak tidak jauh dari taska juga mengalami masalah yang sama dengan airnya yang sekejap ada dan sekejap tiada," katanya.
  
Seorang jururawat Klinik Doktor Azizah di Taman Dagang, Ampang, Nor Aniza Abu Bakar, berkata klinik itu beroperasi seperti biasa namun banyak urusan tergendala antaranya ujian air kencing terpaksa dihentikan sementara.
 
"Ia menyukarkan bukan sahaja kepada pengurusan klinik tetapi juga pesakit yang perlu datang mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya.
  
Manakala bagi ibu kepada dua anak, Asyilawati Ali, 35, dari Apartment Pandan Utama, Ampang, pula berkata hari pertama persekolahan dirasakan amat sukar apabila beliau terpaksa menguruskan anaknya dalam keadaan ketiadaan bekalan air.
  
"Kami terpaksa berdikit-dikit menggunakan air yang disimpan dan keluar makan di restoran kerana air yang ada disimpan hanya untuk hal penting seperti membersihkan diri," katanya.
  
Sebanyak 107,760 akaun pengguna yang melibatkan setengah juta penduduk, terjejas bekalan air susulan kegagalan sistem pam di rumah pam Wangsa Maju sejak 29 Disember lalu dan kerosakan pada papan suis utama Pudu Hulu, semalam.
  
Bagaimanapun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menjangkakan bekalan air yang terjejas membabitkan 90 kawasan sekitar ibu negara itu dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini,  berharap masalah ketiadaan air dapat diselesaikan segera kerana penghuni tidak sanggup lagi untuk mengangkut air setiap hari.
  
Pekerja swasta, K. Manoharan, 57, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) seharusnya menyediakan satu alternatif seperti pam yang membolehkan bekalan air yang dihantar lori tangki dapat disalur kepada penduduk yang tinggal di tingkat atas flat berkenaan.
  
"Rumah saya sendiri di tingkat empat, dan bukan mudah untuk saya angkat baldi satu demi satu untuk kegunaan setiap hari," katanya ketika ditemui hari nini.
   
Seorang lagi penduduk Fatimah Karim, 60, berkata beliau terpaksa berjimat menggunakan air yang disimpan di rumah kerana tidak berdaya untuk mengangkut air ke rumahnya di tingkat dua.
 
"Saya perlu menunggu anak balik dari kerja untuk mengangkut air. Saya juga hanya membeli makanan di luar sejak air tiada kerana air yang disimpan digunakan untuk membasuh baju, pinggan, wuduk dan membuang air," katanya.

Suri rumah itu juga memberitahu, seorang jirannya yang mengadakan kenduri pada Sabtu lalu terpaksa menggunakan air daripada pili bomba untuk membasuh
pinggan mangkuk kerana tidak mempunyai pilihan.   

Sementara itu, seorang peniaga Aziah Shaari, 57, berkata beliau pernah beratur selama 45 minit untuk mendapatkan air daripada lori tangki Syabas.
   
"Kami tidak dimaklumkan bila lori air akan datang. Pernah lori air tiba pada waktu malam. Penduduk juga hampir bergaduh kerana berebut air dan saya faham mereka yang mempunyai keluarga besar memerlukan lebih banyak air," katanya.
 
Bagaimanapun Aziah berkata penduduk boleh menarik nafas lega sejak dua hari lalu setelah Syabas meletakkan dua tangki statik yang sentiasa diisi air untuk
memenuhi keperluan penduduk.
 
Seorang lagi penduduk Narimah Md Sayaed, 62, berkata masalah ketiadaan air membuatkan beliau agak runsing kerana empat cucu yang tinggal bersamanya semasa ibu bapa mereka bekerja, mula bersekolah hari ini.
 
"Budak-budak tak begitu terasa dengan masalah tiada air, tetapi kita yang tua ini risau kerana mereka perlu makan dan membersihkan diri sebelum ke sekolah sesi lain dan juga selepas pulang sekolah," katanya. - Bernama

sinar harian



0 komentar:

Posting Komentar


Top