Kamis, 17 Januari 2013

Pemuda rentung ketika curi kabel elektrik

Pencawang pembahagian utama UMT yang diceroboh
KUALA NERUS – Hasrat seorang lelaki untuk menuai hasil kabel curi tidak kesampaian apabila dia ditemui rentung dan mayatnya melekat pada belakang perkakas suis di pencawang pembahagian utama, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai memecah masuk pagar melalui longkang sebelum meloloskan diri ke dalam kawasan pencawang bervoltan tinggi itu.

Pengarah Tenaga Nasional (TNB) Negeri Terengganu, Ir Md Yuslan Md Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bilik kawalan TNB berhubung gangguan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

“Sebaik menerima maklumat berhubung gangguan berkenaan (elektrik), beberapa petugas yang terdiri daripada juruteknik (TNB) diarah memeriksa di tempat kejadian.

“Apabila sampai, mereka terkejut dengan penemuan mayat yang rentung dan masih melekat pada belakang perkakas suis utama tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sinar Harian difahamkan, mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an dan dipercayai tidak bersendirian berdasarkan kesan tapak kasut yang ditemui di sekitar tempat kejadian.

Malah, sebelum penemuan mayat berkenaan, penduduk sekitar terpaksa bergelap selama dua kali dalam tempoh satu jam, sebelum bekalan dipulihkan kembali sebaik menemui punca sebenar.

Pencawang bervoltan setinggi 33,000 kilowatt itu merupakan pencawang utama yang turut menyalurkan elektrik di sekitar kampung berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Zamri Shamsuddin, mengesahkan mengenai kejadian berkenaan, manakala identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

sinar harian



0 komentar:

Posting Komentar


Top