Minggu, 13 Januari 2013

Liverpool kalah bermaruah


MANCHESTER – Liverpool tewas 1-2 kepada Manchester United di Old Trafford semalam tetapi usaha mereka menyaingi pendahulu Liga Perdana England itu membuktikan mereka kalah secara bermaruah.

Walaupun mengasak hebat mencari gol penyamaan selepas ketinggalan 0-2 hasil jaringan Robin Van Persie dan Nemanja Vidic, skuad bimbingan Brendan Rodgers malangnya tetap kempunan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.


Hanya gol menerusi pemain yang baharu dibeli dari Chelsea, Daniel Studrridge sekadar menjadi penawar buat Liverpool ketika United meraikan kemenangan ke-63 dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Kejayaan United semalam juga merupakan kemenangan berganda pertama mereka ke atas Liverpool dalam satu musim sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2007-2008 lalu.


Dalam aksi di Anfield pada 23 September tahun lalu, Liverpool turut tumpas 1-2 kepada United dengan van Persie sekali lagi menjadi pemusnah dalam perlawanan itu apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti, sembilan minit sebelum permainan tamat.

Semalam van Persie sekali lagi menjadi inspirasi kepada kemenangan United apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 selepas menyambut cantik hantaran lintang Patrice Evra.


Vidic kemudiannya mengambil giliran menambah derita Liverpool dengan gol kedua hanya selepas sembilan minit permainan bersambung di babak kedua.

Dengan kemenangan ini, United kini selesa berada 10 mata di depan pasukan di tangga kedua liga, Manchester City yang hanya turun beraksi berdepan Arsenal awal pagi tadi. – Agens

gol Vidic offside?



0 komentar:

Posting Komentar


Top