Rabu, 16 Januari 2013

Hakim minta maaf mengenai kenyataan perogol dan mangsa rogol sama-sama merasai nikmat

 

JAKARTA - Setelah menerima kecaman hebat masyarakat kerana gurauan bahawa "perogol dan mangsa rogol sama-sama merasai nikmat", calon Hakim Mahkamah Agung Muhammad Daming Sunusi meminta maaf secara terbuka dan menyatakan rasa kesal kerana mengeluarkan kenyataan itu.
  
Padah gurauan kontroversi itu, yang dibuat semasa menjalani ujian kelayakan di hadapan Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia itu, bukan sahaja menjejaskan peluang untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Agung, malah beliau mungkin perlu berdepan Suruhanjaya Kehakiman berhubung soal pelanggaran etika.
  
"Dari lubuk hati yang paling dalam, saya menyampaikan permohonan maaf kepada masyarakat, media massa, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia (KPAI), Biro Bantuan Guaman (YLBHI) dan kepada pemerhati undang-undang atas ucapan-ucapan saya yang 'out of control' dan tanpa disedari. Saya mohon maaf terutama kepada Yang Maha Kuasa," kata Daming pada sidang akhbar di sini, Selasa.
  
Dalam linangan airmata kekesalan, Daming menjelaskan bahawa beliau tidak menyedari terkeluar kenyataan seperti itu kerana ketika itu sedang berada dalam suasana tegang menjawab soalan-soalan para anggota DPR semasa ujian kelayakan itu.
  
Semasa disoal pada sesi ujian kelayakan itu pada Isnin, Daming, yang juga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Banjarmasin, Kalimantan Selatan, menyatakan bahawa hukuman mati terhadap perogol perlu difikirkan secara mendalam kerana "yang merogol dan yang dirogol sama-sama menikmati".

Masyarakat dalam reaksinya turut mengecam para anggota DPR yang ketawa mendengar gurauan Daming itu, namun para anggota dewan segera mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa mereka ketawa kerana terkejut mendengar kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh seorang calon hakim Mahkamah Agung.
  
Banyak pihak juga menggesa supaya para anggota DPR tidak memilih Daming sebagai hakim Mahkamah Agung berikutan kenyataan beliau itu.
  
Suruhanjaya III DPR mengadakan ujian kelayakan itu terhadap beberapa calon hakim Mahkamah Agung minggu ini. - Bernama



0 komentar:

Posting Komentar


Top