Kamis, 20 Desember 2012

Penjaja Myanmar kutip sayur dalam tong sampah untuk dijual di KL



Seorang wanita warga Myanmar berulang alik beberapa kali ke pasar mengangkut sayur yang dibuang pemborong

KUALA LUMPUR - Penjaja warga Myanmar umpama mendapat untung atas angin apabila tidak perlu mengeluarkan modal untuk berniaga selepas mereka bertindak mengutip sayur yang dibuang pemborong untuk dijual.

Tinjauan Sinar Harian selama dua jam bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi baru-baru ini mendapati sekumpulan warga Myanmar di antara lima hingga enam orang sedang khusyuk mengutip dan memilih sayur yang dibuang pemborong pada tong sampah besar terletak di luar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tinjauan juga mendapati seorang wanita berulang alik sebanyak tiga hingga empat kali mengangkut beberapa bakul sayur tersebut ke luar kawasan pasar.

Sayur-sayur tersebut dipercayai dijual kepada orang awam di luar pasar borong bermula jam 6 petang.

Meskipun masalah tersebut telah banyak kali dibangkitkan namun penyelesaian masih menemui jalan buntu apabila penjaja Myanmar dilihat masih berniaga seperti biasa.

Pengunjung pasar, Latifah Ayob, 46, berkata, perkara itu menjadi rutin masyarakat Myanmar yang tinggal di pasar borong untuk menyara kehidupan.

“Mereka akan memilih sayur dibuang pemborong, kemudian akan dijual kepada orang awam yang rata-ratanya peniaga kedai makanan kerana harganya murah.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali membuat operasi penjaja namun permasalahan itu berlarutan dan kini dilihat semakin kritikal,” katanya.

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohd Fauzi Ishak, 32, meminta badan pemantau dilantik menyelesaikan masalah lambakan warga asing.

“Warga asing kini mengatasi warga tempatan, penjaja warganegara dikenakan tindakan kompaun tetapi penjaja asing dibiarkan berleluasa sehingga menjadikan pasar borong umpama perkampungan Myanmar.

“Kita bimbang sekiranya perkara ini berlarutan dan tidak terkawal akan memudaratkan generasi akan datang kerana anggaran jumlahnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Fauzi mengakui bimbang akan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati setiap kali bersama keluarga ke pasar borong untuk membeli barang keperluan niaganya.

Dia berharap, permasalahan itu dapat ditangani secara bijak dan dalam masa sama tidak menjejaskan periuk nasi warga tempatan.

sinar harian



0 komentar:

Posting Komentar


Top