Selasa, 11 Desember 2012

Harimau Malaya terima layanan buruk di Thailand

Skuad negara terpaksa menjalani latihan ringan di atas padang yang ditakungi air di Stadium Express-way semalam.

Pengurusan Harimau Malaya buat aduan mengenai layanan buruk tuan rumah

Pihak pengurusan pasukan kebangsaan membuat aduan kepada penganjur Piala Suzuki, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) serta tuan rumah, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengenai keadaan padang latihan Harimau Malaya, yang didapati becak dan layak dipanggil bendang.

“Saya sudah buat aduan kepada pihak penganjur dan FAT. Harap esok (hari ini) dapat padang lebih elok. Tapi anggap ini semua dugaan untuk berjaya,” kata pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya di padang Jaran Buraprat, kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan skuad negara, petang semalam.

Layanan yang diterima Harimau Malaya agak berbeza dengan layanan lima bintang disediakan Malaysia kepada Thailand ketika berkunjung ke ibu negara untuk perlawanan separuh akhir pertama Ahad lalu termasuk menyediakan padang latihan tertutup dan anggota keselamatan.

Macam bendang padi

Skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan tindakan penganjur Piala Suzuki AFF dan tuan rumah, FAT hanya menyediakan padang awam sebagai tempat latihan di Bangkok, petang semalam.

Biarpun lokasinya hanya satu kilometer dari hotel Golden Tulip Sovereign, keadaan padang Jaran Buraprat itu sepatutnya tidak layak dijadikan padang latihan untuk kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.
“Kami amat kecewa dengan padang yang macam bendang padi, tempat pemain salin pakaian pun tiada, jaring gol koyak rabak dan orang awam boleh tengok secara terbuka. Jika di Malaysia, main peringkat kampung pun tidak seperti tahap ini.

“Sedangkan ketika skuad Thailand datang ke Kuala Lumpur tempoh hari, kita beri layanan begitu baik, jagaan pihak polis dan padang latihan tertutup (Kompleks Latihan Maybank, Bangi) supaya mereka dapat buat latihan sulit tanpa gangguan,” katanya.

Ditanya adakah ini salah satu taktik atau strategi Thailand untuk melunturkan semangat juang Harimau Malaya, Subahan berkata: "Saya tak tahu. Apa pun, yang berlaku ini tidak menunjukkan semangat kesukanan. Patut layanan lebih baik dan kita sudah rugi sehari tidak dapat menjalani latihan penuh."


[berita harian]

0 komentar:

Posting Komentar


Top