Kamis, 13 Desember 2012

Doa rakyat Malaysia buat Harimau Malaya

MESKIPUN diuji keadaan tempat latihan yang tidak sempurna, penyokong tegar Ultras Malaya yakin ia tidak akan mengganggu tumpuan skuad kebangsaan untuk  menundukkan Thailand dalam saingan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Supachalasai, Bangkok, malam ini.

Jelasnya, perang psikologi yang dilakukan Thailand tidak akan membuatkan anak buah Datuk K. Rajagobal gentar atau takut menghadapi pertemuan itu.

"Kami berharap Harimau Malaya akan berjuang berhabis-habisan dan buktikan kepada Thailand apa yang dilakukan oleh mereka tidak memberi kesan kepada negara," kata salah seorang penggerak Ultras Malaya, Azrul ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Ketika ditanya mengenai layanan buruk yang diberi Thailand kepada  Malaysia, Azrul menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar dilakukan.

Namun katanya, perkara seumpama sering berlaku dalam dunia bola sepak.

"Ini asam garam bola sepak, perkara sebegini tidak harus terjadi.

"Tapi mereka seharusnya tahu cara melayan tetamu seperti mana Malaysia melakukannya ketika perlawanan pertama tempoh hari," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai jangkaan perlawanan malam ini, Azrul berharap Malaysia dapat mempamerkan aksi cemerlang.

"Saya berharap mereka akan buktikan kepada pasukan lawan yang kita mampu menewaskannya.

"Saya juga yakin para pemain sudah bersedia dari segi mental juga fizikal dan akan memperbaiki segala kesilapan dalam perlawanan yang lepas," kata Azrul lagi.

Sementara itu, seorang lagi penggerak Ultras Malaya, dikenali sebagai Reza turut optimis bahawa skuad kebangsaan akan berjaya menewasan Thailand sekali gus mara ke final untuk bertemu Singapura.

"Seluruh rakyat Malaysia mendoakan dan mahu agar Malaysia dapat kalahkan Thailand," katanya.

Reza juga menasihatkan penyokong Malaysia yang ke Stadium Supachalasai agar menjaga tingkah laku masing-masing.

"Saya harap mereka jaga keselamatan dan berhati-hati dalam perjalanan, kembali dengan selamat.

"Jangan timbulkan apa-apa masalah di sana, kita datang untuk memberi sokongan kepada skuad kebangsaan." Katanya lagi.

Sementara itu, beberapa jurulatih pasukan Liga Malaysia memberi nasihat agar skuad negara tidak melakukan kesilapan ketika menentang Thailand untuk mara ke final.

Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan menyeru Malaysia bermain tanpa melakukan sebarang kesilapan.

"Gunakan peluang ini dengan sebaiknya, saya yakin kita mampu mara ke final nanti," katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain pertahanan bola sepak Malaysia, Wan Jamak Wan Hassan meminta agar skuad kebangsaan menganggap perang psikologi Thailand dengan tidak menyediakan kemudahan latihan mengikut piawaian Persatuan Bola Sepak Asia sebagai perkara yang positif.

"Apa yang penting kita fokus pada perlawanan malam ini untuk melangkah ke final.

"Perlawanan malam ini sangat sengit, jika Malaysia melakukan kesilapan kecil pasti akan membuka peluang Thailand untuk membolosi gawang kita," katanya.

Beliau menambah agar Malaysia mampu menjaringkan gol di separuh masa pertama untuk memberi tekanan ke atas Thailand.

Bekas jurulatih Johor FC, Sazali Saidon yakin kemenangan berpihak kepada Malaysia malam ini berdasarkan prestasi positif yang ditunjukkan oleh anak buah Rajagobal.

"Apa yang penting para pemain harus kuatkan mental kerana beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan.

"Pastikan tidak melakukan kesilapan mudah yang memberi peluang kepada Thailand untuk menjaringkan gol," jelasnya.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Hoki Malaysia,  Datuk Nur Azmi Ahmad turut mengutarakan pandangannya mahu skuad kebangsaan menguasai masa 90 minit dengan sebaiknya.

"Jika kita lihat permainan Ahad lepas, kita banyak bertahan dan saya harap untuk permainan malam ini kita lebih banyak menyerang," katanya.

Menurutnya lagi, pemian yang bakal menjaringkan gol adalah Nurshahrul Idlan Tahala berikutan aksi cemerlangnya sepanjang saingan Piala AFF Suzuki edisi kesembilan ini.

"Tidak kurang hebat penyerang kita, Safee Sali jika mereka bermain secara bekerjasama saya yakin kita mampu mara ke final," jelasnya.

[sinar harian]



0 komentar:

Posting Komentar


Top