Minggu, 23 Desember 2012

Boeing guna kentang uji wifi

Chicago: Syarikat Boeing menggunakan ubi kentang untuk menguji sistem wifi dalam pesawatnya, kaedah yang dianggap luar biasa.

Kerusi penumpang dalam pesawat khas diletak guni ubi kentang untuk beberapa hari untuk menguji kekuatan isyarat. Penyelidik syarikat berkata ubi kentang ‘berinteraksi’ dengan isyarat elektronik.

Jurutera Boeing menjalankan beberapa ujian bagi memastikan penumpang akan mendapat isyarat kuat wifi ketika di udara.

Pada masa sama, ia juga menguji sama ada standard keselamatan yang melindungi gangguan dengan sistem elektrik pesawat, dipenuhi.

Isyarat tanpa wayar berubah-ubah secara rawak dalam ruang tertutup kabin pesawat ketika penumpang bergerak. Ia bermaksud agihan isyarat tidak sekata di seluruh kabin, dengan jaringan lemah dan kuat di tempat duduk berbeza.

“Anda mahu komputer riba anda berfungsi di mana saja anda duduk, namun kemungkinan ada perubahan isyarat ketara mengikut lokasi tempat duduk,” kata jurutera Boeing Dennis Lewis.

Untuk menguji isyarat, syarikat itu menggunakan 9,000 kilogram kentang dalam guni.

Menurut Boeing, interaksi ubi kentang dengan isyarat elektronik menyamai tubuh manusia menjadikannya sesuai menjalankan ujian beberapa hari bagi mengumpul data.

Majlis Ubi Kentang United Kingdom berkata ramai orang memandang rendah penggunaan alternatif tumbuhan itu.

“Contohnya ialah dalam pengeluaran kertas dan dakwat, kanji ubi kentang digunakan dalam pakaian untuk mengukuhkan serat supaya ia tidak pecah ketika ditenun dan untuk pemanis - glukosa dapat di ekstrak daripada kanji ubi kentang,” kata jurucakap majlis.

BH



0 komentar:

Posting Komentar


Top