Sabtu, 08 Desember 2012

Bahaya cinta kampus

KUANTAN - Penuntut baru di institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya 'berpasangan' di kampus kerana jika tersilap langkah, mereka bakal berdepan pelbagai gejala negatif.

Penceramah bebas, Nasaruddin Samsudeng berkata, cinta kampus sangat popular dalam kalangan penuntut yang mana mereka sering kali berkepit dengan pasangan masing-masing sekali gus membawa kepada masalah sosial.

Menurutnya, budaya ini terjadi kerana kebanyakan anak muda mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan rakan serta perasaan ingin mencuba.

“Cinta kampus seperti satu perkara biasa pada masa sekarang sehingga ada yang mengabaikan pelajaran disebabkan terlalu asyik bercinta.

“Mereka lupa tujuan sebenar berada di kampus sehinggakan keputusan terjejas kerana tidak tumpu pada pengajian dan kerap ponteng kuliah,” katanya pada program Bicara Cinta Kampus anjuran Kolej Antarabangsa Ikip, di sini.

Nasaruddin berkata, cinta kampus akan memberi kesan buruk sekiranya golongan terbabit gagal mengawal diri masing-masing.

“Justeru, saya berharap agar remaja tidak terburu-buru untuk  bercinta, sebaliknya fokus kepada pengajian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kolej Antarabangsa Ikip, Wan Kalsom Wan Abdul Munim berkata, program itu diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada penuntut baru supaya tidak lalai dengan budaya baru di kampus.

Katanya, cinta kampus bukan perkara baru malah timbul pelbagai masalah menyebabkan ada dalam kalangan penuntut yang gagal mengawal perasaan apabila berdepan dengan masalah cinta.

“Justeru, kita mengadakan program ini untuk memberi kesedaran kepada penuntut mengenai bahaya cinta kampus.

“Kita mahu mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran sebelum terjebak dalam soal cinta,” katanya.

Bagi penuntut tahun satu Ikip, Nur Eliyana Mohd Basar, 18, menyifatkan program itu memberi manfaat terutama kepada penuntut baru sepertinya sebagai motivasi dan peringatan agar tidak mudah hanyut dengan keseronokan bercinta.


sinar harian



0 komentar:

Posting Komentar


Top