Jumat, 12 Agustus 2011

‘Orang Minyak’ mengganas

jCOLOMBO: Beberapa siri serangan ‘orang minyak’ di kawasan luar bandar di Sri Lanka membuatkan penduduk tempatan ketakutan.

Kira-kira tiga orang dilaporkan terbunuh akibat serangan ‘orang minyak’, minggu ini.

Menurut polis dan media tempatan, serangan itu menyebabkan wanita mengurung diri di dalam rumah dan kaum lelaki menyimpan senjata.

Mengikut sejarah, ‘orang minyak’ adalah pencuri yang hanya memakai seluar dalam dan melumur minyak hitam di badan mereka supaya tubuh licin dan tidak mudah ditangkap.

Tetapi, kebelakangan ini, ‘orang minyak’ berkeliaran di waktu malam, menakutkan dan menyerang kaum wanita.

“Kami mendengar cerita dia menggigit leher dan buah dada perempuan. Walaupun sudah beberapa kali membuat laporan, polis masih belum menjalankan siasatan, malah di dua kawasan, polis telah melepaskan penjahat itu,” kata seorang agen tiket kapal terbang, berusia 36 tahun, dari Kawasan Bukit, Daerah Matale yang tidak mahu namanya didedahkan.

Dua orang lelaki yang dipercayai ‘orang minyak’ telah dibunuh oleh sekumpulan orang kampung di kawasan penanaman teh di tengah Sri Lanka, Rabu lalu.

Seorang lelaki berusia 22 tahun yang memburu’orang minyak’ mati apabila terpijak jerat elektrik untuk babi hutan, kata sebuah akhbar Tamil, Sudar Ali, semalam.

Kira-kira 30 kejadian telah dilaporkan di tujuh daerah di Sri Langka timur, merentas kawasan penanaman teh di Kawasan Bukit. Polis telah menahan 47 orang sejak bulan lepas.

“’Orang minyak’ tidak wujud. Mereka hanyalah orang biasa yang mempunyai niat jahat untuk mencuri dan melakukan kerja haram,” kata jurucakap polis Prashantha Jayakody. - Reuters


0 komentar:

Posting Komentar


Top